Sunday, June 14, 2009

Pendekatan Gerakan Aktivis Qariah Malaysia


Pendekatan Gerakan Aktivis Qariah

Kita ingin menggerakkan tenaga aktivis-aktivis yang telah sedia bersemangat untuk digerakkan dari pelbagai organisasi dan latarbelakang yang sedia ada di dalam setiap qariah tersebut melalui sebuah proses latihan, orientasi serta pembinaan karakter dan keupayaan diri.

Kita akan memastikan kumpulan aktivis di setiap qariah ini mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk menjadi pengurus, pemula, perunding, pemudahcara dan pembiak perubahan budaya di qariah tersebut.

Apabila proses memasukkan aktivis-aktivis ini ke dalam jaringan aktivis yang sangat komited dengan perjuangan ini berlaku, gerakan merekayasa semula masyarakat (social re-engineering) pun bermula.

Melalui inisiatif meluas yang dilakukan oleh para aktivis terlatih yang melibatkan diri dalam proses perubahan budaya ini, kita membayangkan sebuah masyarakat yang aktif dan dinamik sedang menyatukan dirinya secara bersama untuk membawa perubahan kepada pembinaan Negara.

Kaedah yang kita gunakan ini adalah kaedah-kaedah penglibatan bersama secara meluas yang meliputi kepelbagaian tahap dan status sosial di qariah tersebut. Para aktivis qariah akan mengambil tanggungjawab sebagai pengurus dan perangsang (motivator) yang akan memperkasakan anggota masyarakat untuk berfikir dan bertindak. Mereka akan menjadi lokomotor yang akan menarik dan menolak masyarakat di qariah tersebut untuk mengubah bentuk semasa keadaan hidup di qariah tersebut.

Kaedah kita juga adalah berdasarkan penglibatan aktif anggota masyarakat itu sendiri untuk menyusun, mengurus dan merekayasa semula kehidupan mereka di qariah tersebut dan memulakan aktiviti-aktiviti berterusan yang akan membawa perubahan di dalam rutin harian mereka.

Terdapat 8 Pendekatan Yang Telah Kita Susun, Iaitu :
  1. Mengenal pasti sekurang-kurangnya 10 individu yang berminat, mampu dan layak menjadi aktivis di sesuatu qariah tersebut.
  2. Kumpulan aktivis qariah ini akan menjalani satu siri latihan kemahiran dan orientasi yang dikendalikan oleh Sekretariat Kebangsaan, Gerakan Aktivis Qariah Malaysia
  3. Kerja yang pertama yang tersangat penting bagi memulakan gerakerja di qariah adalah menyediakan sebuah dokumen yang diberinama "Profil Qariah" yang akan menerangkan setiap aspek yang ada di dalam masyarakat di qariah tersebut.
  4. Merancang dan menjalankan pelbagai aktiviti berdasarkan keutamaan komuniti sasaran yang terdapat di dalam Profil Qariah tersebut.
  5. Melatih seberapa ramai anggota masyarakat di dalam qariah tersebut di dalam menguruskan kepelbagaian isu dan masalah yang ada
  6. Menggerakkan anggota masyarakat di qariah tersebut di dalam proses penilaian keberkesanan aktiviti yang telah dijalankan.
  7. Memastikan usaha bersama anggota masyarakat di qariah untuk mengekalkan
    perubahan-perubahan yang telah dihasilkan dari gerakerja ini.
  8. Bergerak di luar masjid serta menjadi pelengkap kepada Jawatankuasa Qariah Masjid dan Kerajaan Tempatan. Perlu berhubung baik dengan semua agensi daerah dan parti-parti politik yang wujud di dalam qariah tersebut. Perlu sentiasa dilihat non-partisan ( tidak memihak kepada mana-mana parti politik )

No comments:

Post a Comment