Sunday, June 14, 2009

Misi Dan Visi


Misi Gerakan Aktivis Qariah Ini

Misi gerakan ini adalah untuk menghasilkan sebuah perubahan sosial. Perubahan yang difokuskan di sini adalah untuk menghasilkan sebuah komuniti sosial yang berteraskan Penghayatan Islam secara sepenuhnya ( kaffah ) di dalam setiap spektrum kehidupan masyarakat di qariah tersebut.

Komuniti ini merupakan sebuah komuniti yang kuat di dalam menonjolkan ajaran sebenar Islam di peringkat individu, keluarga, taman/kampung dan qariah. Komuniti sosial ini juga merupakan sebuah komuniti yang mempunyai daya inisiatif dan pengurusan diri yang benar-benar berfungsi di peringkat qariah.

Karakter dan pemikiran komuniti ini menjadi salah satu contoh tauladan masyarakat maju berdasarkan Islam yang menonjolkan ciri-ciri masyarakat Madinah dan meninggalkan sama sekali ciri-ciri keburukan masyarakat jahiliyyah di dalam segala dimensinya.

Sangat kelihatan di dalam masyarakat ini hasil pembinaan dari kepercayaan, komitmen, pengorbanan, keadilan, perpaduan, keharmonian dan kekuatan akhlaqnya.

Secara rohnya, misi kita ini ingin mewujudkan masyarakat qariah yang menjadi jentera penyebaran mesej "rahmatan lil 'alamin". Justeru itu, kita, selaku aktivitis qariah telah meletakkan di bahu kita tanggungjawab untuk membentuk dan mengurus semula masyarakat di peringkat qariah sebagai kawasan operasi kita dengan kesediaan menanggung segala tribulasi yang ada disepanjang jalan ini.

Visi Gerakan Aktivis Qariah Ini

Visi gerakan ini adalah untuk membina sebuah komuniti kariah yang berfungsi dan beroperasi memikul tanggungjawab melaksanakan peranan masyarakat Islam yang sebenarnya.

Tiang asas bagi komuniti ini adalah menifestasi tugasan dari ayat “Ya' muru nabil ma'ruf wa yan hauna 'anil munkar" - mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Visi kita juga adalah untuk membina sebuah model masyarakat Islam sebenar yang melebar dari peringkat Qariah kepada peringkat yang lebih besar iaitu mukim, daerah, negeri dan negara.

Visi ini akhirnya akan dimasukkan kedalam agenda nasional negara yang akan menggerakkan seluruh negara menjadi sebuah masyarakat dan negara Malaysia yang adil; sangat harmoni dan kuat.

Kesannya akan membawa perubahan kepada persepsi setiap rakyat, setiap keluarga, setiap kejiranan dan setiap institusi rakyat pelbagai kaum ini untuk menghayati kehidupan bermasyarakat menurut amalan Islam di dalam setiap peningkatannya.


No comments:

Post a Comment