Sunday, June 14, 2009

Keadaan Masyarakat Kita Sekarang


Kita sedang menyaksikan sekarang sebuah aliran hidup (trend) masyarakat yang tersasar dari aliran yang sepatutnya. Satu arah aliran hidup yang memerangkap anggota masyarakat untuk menuju kesebuah illusi kehidupan yang sempurna, selesa dan indah semata-mata. Segala-galanya yang ada kini sudah cukup untuk anggota masyarakat tersebut berpuas hati dan senang hati. Anggota masyarakat dikhayalkan dan diaturkan pemikiran serta perasaan mereka untuk tidak bersoaljawab dan mempersoalkan kehidupannya.

Apa yang dilihat pada setiap aras masyarakat dewasa ini adalah keinginan untuk mengikuti arah aliran hidup tersebut. Anggota masyarakat dengan kecetekan pemikiran mereka itu, sangat bermotivasi untuk mendapatkan pengagungan kepada taraf serta kedudukan mereka di mata masyakarat. Aliran hidup yang membenarkan seseorang itu secara membuta tuli menerima ilusi kehidupan moden ini telah memisahkan mereka daripada makna sebenar tugas dan tanggungjawab yang sepatutnya mereka buru dan laksanakan.

Justeru itu, adalah menjadi tugas yang sangat besar dan hebat untuk melibatkan diri di dalam kerja-kerja mengubah pemikiran dan jiwa anggota masyarakat kearah corak pemikiran bersoaljawab ( questioning mental attitude ) dan mendidik mereka menjadi sebuah masyarakat dinamik yang berorientasikan tindakan ( action oriented ). Fokus utama di sini adalah untuk “Membawa Perubahan” dan “Menyebarkan Perubahan”

Budaya masyarakat yang ada sekarang ini apabila dikaji semula, akan menonjolkan purdah / kain kelubung pembohongan, pendustaan dan penipuan hasil dari kefahaman yang salah tentang apakah yang sepatutnya sesuatu komuniti masyarakat itu lalui dan tempuhi.

Perlumbaan si tikus ( the rat race ) mendapatkan kedudukan masing-masing di dalam masyarakat dan keasyikan di dalam mengejar kerjaya masing-masing tidak membawa apa-apa hasil selain kegelisahan, kecemasan, keresahan, pengajuan/penyerahan diri yang buta dan ketidaksedaran terhadap kesihatan dan kesejahteraan anggota masyarakat.

Hasilnya

Realiti Sosial
  1. Kekurangan ikhtiar masyarakat untuk memperbaiki dirinya dari kelakuan yang buruk dan negatif
  2. Ancaman kepada institusi kekeluargaan oleh kelakuan/perangai buruk anggota-anggota di dalam masyarakat tersebut
  3. Ahli masyarakat dibiasakan dengan percakapan yang sia-sia, pembuangan masa dan aktiviti-aktiviti yang tidak produktif
  4. Kurangnya motivasi untuk menyentuh, menggerak dan menyelesaikan isu-isu kebajikan dan kesejahteraan golongan tua, kurang upaya, ibu/bapa tunggal melalui khidmat sukarela di dalam masyarakat.
  5. Wujudnya fenomena kelesuan serta keletihan jiwa dan pemikiran yang ketara akibat dari kegagalan mencapai kepuasan hidup yang diillusikan itu. Kebuntuan mengurus diri, keluarga dan masyarakat sangat kelihatan sehingga mewujudkan tekanan mental yang tinggi di kalangan anggota masyarakat.

Realiti Ekonomi

  1. Inisiatif untuk meningkatkan taraf kedudukan ekonomi diri di kalangan anggota masyarakat melalui peningkatan kemahiran dan bekerja sendiri sangat rendah
  2. Sindrom kebergantungan kepada bantuan kerajaan masih lagi tinggi yang menyebabkan kekurangan inisiatif di kalangan anggota masyarakat untuk bekerja sendiri
  3. Tanah-tanah kosong yang produktif masih lagi terbiar dan tidak dibangunkan sepenuhnya untuk meninggikan aktiviti-aktiviti ekonomi bagi masyarakat luar Bandar
  4. Ilmu pengurusan kewangan di kalangan anggota masyarakat adalah sangat rendah

Realiti Politik

  1. Kefahaman terhadap politik adalah sangat rendah di kalangan anggota masyarakat
    Hak berpolitik dan tanggungjawab politik masih tidak mencukupi di kalangan rakyat Malaysia
  2. Sikap tidak ambil peduli terhadap bagaimana sesebuah kerajaan itu berfungsi sangat berleluasa
  3. Tahap kecelikan politik tentang bagaimana seseorang ahli parlimen dan ADUN sepatutnya berfungsi dan hak anggota masyarakat terhadap mereka masih rendah
  4. Perpecahan politik yang wujud hasil dari rendahnya kefahaman tentang politik masih menyumbang kepada hubungan yang tidak sihat di antara anggota masyarakat

Realiti Budaya

  1. Anggota masyarakat sedang membinasakan secara beransur-ansur budaya hidup sebenar mereka dengan penyerahan diri kepada budaya-budaya barat dan budaya yang asing dengan dalih-dalih kemajuan dan pengembangan bangsa dan Negara
  2. Kefahaman sebenar terhadap budaya bangsa telah menjadi semakin lemah di kalangan anggota masyarakat sehingga menyebabkan wujudnya pengabdian kepada budaya asing dan tercabutnya akar umbi budaya Islam yang menjadi jatidiri budaya bangsa selama ini.
  3. Terhakisnya adab dan akhlaq Islam di kalangan anggota masyarakat adalah sangat berleluasa di setiap aspek kehidupan mereka

Persoalannya

Sekarang wujudnya keadaan yang memerlukan secara segera pembinaan sebuah pemikiran yang sangat aktif dan bersifat mengkritik bagi mengkaji semula lingkungan pergaulan, interaksi dan cara hidup masyarakat ketika ini.

Rasa haus yang sangat memuncak terhadap kehidupan yang senang dan selesa melalui pencarian kerjaya yang berstatus tinggi serta rasa mengidam yang sungguh kuat akan kehendak-kehendak memenuhkan nafsu telah melembapkan serta melumpuhkan komuniti masyarakat kita dari melibatkan diri secara aktif membina peningkatan kecendikiawanan yang tinggi dan dinamik.

Inilah hasilnya membiarkan budaya hedonistic ( budaya mengagungkan kepuasan nafsu ) dan pergelutan berterusan untuk memenuhi standard/piawai nafsu yang telah ditetapkan oleh pelakon-pelakon antarabangsa yang tidak bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment