Sunday, June 14, 2009

Muqaddimah


Sesebuah komuniti masyarakat yang berpuas hati apabila bergantung segala keperluannya kepada pihak kerajaan atau mana-mana pihak selain dari dirinya, adalah sebuah masyarakat yang sangat susah dan memerlukan tempoh masa yang panjang untuk menjadikan dirinya sebagai sebuah masyarakat yang maju dan dinamik.

Komuniti masyarakat sebegini sangat terdedah dan mudah terpengaruh kepada penaklukan mahupun penguasaan melalui pembudayaan dan kepandaian orang lain yang berkuasa. Sangat membahayakan sekali kerana komuniti masyarakat sebegini lambat laun akan membinasakan dirinya ( self-destroy ) kerana ketidakmampuannya untuk berdikari dan terus hidup di atas daya usahanya sendiri.

Berikutan dari itu, sebuah komuniti masyarakat yang sebegini tidak mempunyai kemampuan malah keupayaan untuk melaksanakan idea-ideanya sendiri dan hanya akan mengekang segala potensi yang ada pada ahli-ahlinya untuk terbina sepenuhnya dari sudut intelektual, moral/akhlak, fizikal serta roh/semangatnya.

Justeru itu, kita merumuskan bahawa selagi sesebuah komuniti masyarakat itu tidak diberikan kuasa, didorong dan diperkuatkan untuk membina dirinya kearah sebuah komuniti yang bebas, merdeka, berdikari dan sangat tinggi motivasi dirinya, maka komuniti ini sendiri akan menghalang atau menutup dirinya dari segala usaha untuk membuang segala mara bahaya yang wujud akibat dari kemunduran dan keterbelakangan yang ada di dalam sikap dirinya itu. Komuniti masyarakat sebegini akan menghalang segala usaha pihak luar untuk memperkasakan diri mereka dan akan ketinggalan serta tersisih dari segala kemajuan yang dikecapi oleh masyarakat yang maju dan dinamik.

Ajaran Islam

Keadaan masyarakat yang sebegini sudah tentu tidak selari dan sesuai dengan ajaran Islam. Ini kerana, sebuah masyarakat Islam itu tidak akan menyerahkan diri serta tunduk patuh kepada pihak lain selain dari Allah s.w.t. Yang Maha Esa.

Sudah menjadi suatu tanggungjawab kepada semua ahli masyarakat yang beragama Islam di dalam sesebuah komuniti untuk membentuk dan memacu kehidupan mereka mengikut kehendak dan perintah Allah s.w.t. supaya menjelmakan dirinya sebagai ‘Umat Yang Terbaik’ ( khairo ummah ) dengan sepenuh makna dan isinya.

No comments:

Post a Comment